Pencernaan - tajuk bagaimana perjalanan makanan dalam tubuh badan.....
Pencernaan merupakan proses di
mana makanan yang besar dipecahkan kepada bentuk yang kecil, seterusnya
dipecahkan lagi kepada molekul yang lebih kecil untuk diserap ke dalam
badan sebagai sumber tenaga atau sebagai sumber penting untuk badan
menjalankan satu-satu fungsi. Dalam entri ini saya akan susun kembali
kronologi pencernaan makanan oleh seorang manusia, dan anda sebagai
seorang manusia yang prihatin kepada tubuh yang dipinjam ini harus
membayangkan kronologi ini ketika anda sedang makan agar anda lebih
menghayati dan menghargai konsep makan dalam hidup seorang manusia.
1 – Beberapa minit sebelum makan
– Fasa “cephalic” bermula apabila deria penglihatan dan bau mula
mengesan sesuatu yang agak “lazat” untuk dimakan. Ini disusuli dengan
tindakbalas beberapa kelenjar yang mula merembeskan beberapa enzim
penting pencernaan seperti air liur (amylase) dan jus perut, meskipun
makanan belum lagi masuk ke dalam sistem pencernaan.
2 – Di saat makanan dimasukkan ke dalam mulut – Ketika gigi dan rahang sedang asyik menghancurkan makanan, “tastebuds”
yang ada pada permukaan lidah mula mengesan komponen kimia yang ada
dalam makanan tersebut seterusnya laporan dihantar dalam tempoh beberapa
mili saat ke otak. Otak mentafsir laporan yang diterima dengan
memberitahu diri anda “Makanan ini rasanya masam-masam manis, lemak berkrim, lazat oh la la sekali rasanya” atau “Makanan ini rasanya pahit, tak sedap“.
3 – Pada masa yang sama, makanan yang dihancurkan ini disebatikan dengan air liur (enzim amylase) yang sedia banyak. Amylase ini
berfungsi untuk memecahkan rantai-rantai kanji panjang yang ada dalam
sumber karbohidrat seperti roti, kentang atau nasi agar menjadi lebih
pendek strukturnya. Amylase juga mengandungi “mucin” yang berfungsi
untuk melembutkan lagi makanan agar mudah melepasi saluran penghadaman
(gastrointestinal tract). Pada peringkat ini, lemak dan protein masih
belum dipecahkan lagi strukturnya.
4 – Kurang dari 30 saat selepas dikunyah
– Makanan yang separa hancur dan digaul dengan amylase tadi mula
ditelan dan masuk ke saluran Esofagus (panjangnya salur ini adalah dari
tekak hingga ke perut). Esofagus ini merupakan saluran berotot, boleh
mengembang dan mengecut, dan kelebihan ini digunakan untuk mengangkut
makanan yang dikunyah tadi sehinggalah ia sampai ke perut. Gerakan
mengembang dan mengecut saluran berotot ini dikenali sebagai
“Peristalsis”. Secara purata masa untuk makanan ini sampai dari tekak ke
perut adalah 6 saat.
5 – 1 minit telah berlalu
– Makanan selamat sampai dalam perut anda. Alhamdulillah. Naik LRT pun
tak cepat macam ni. Sifat dinding perut yang elastik membuatkan saiz
perut yang asalnya kosong (50ml isipadu) kini mula membesar dan terus
membesar sehingga mampu menjangkau 1500ml isipadu atau lebih, bergantung
pada saiz makanan dan isipadu minuman yang diambil.
6 – Dinding perut
terdiri dari 3 lapisan otot berbeza yang membantu untuk menggauli
makanan-makanan ini bersama jus-jus pencernaan yang bersifat asid. Asid
Hidroklorik (HCL) mula menghentikan tindakan Amylase dan dalam masa yang
sama membunuh kuman-kuman/bakteria yang mungkin hadir menerusi makanan
tersebut, atau bakteria-bakteria yang sedia ada dalam mulut/celah gigi
anda yang terbawa bersama makanan ini juga dibunuh pada ketika ini.
7 – Enzim kedua iaitu pepsin mula
bertindak dengan memecahkan struktur protein dari sumber protein
seperti ayam, ikan, daging, telur dan tenusu agar menjadi molekul yang
lebih ringkas. Pada ketika ini, tinggal lemak sahaja yang belum mula
dicernakan lagi sedangkan karbohidrat dan protein telah mula dicernakan.
8 – Masa berlalu dan makanan terus diisi dan diisi dalam perut sekaligus membuatkan hormon ghrelin mula berkurangan.
Apa itu Hormon ghrelin? Sel-sel yang terdapat pada dinding perut juga
menghasilkan sejenis hormon yang dikenali sebagai “Ghrelin”. Hormon
ghrelin berfungsi untuk mengaktifkan rasa lapar apabila parasnya
meningkat, kebiasaannya ia dirembes dengan banyak ketika perut “kosong”,
tetapi parasnya mula berkurangan apabila perut mula penuh diisi dengan
makanan. Hormon ini merupakan sebahagian dari sistem komunikasi antara
perut dan otak yang mana seterusnya ditafsir oleh otak sama ada anda
masih lapar atau sudah kenyang. Sekiranya anda makan terlalu
laju/gelojoh, ada kemungkinan anda akan makan secara berlebihan kerana otak lambat mentafsir signal dari sistem komunikasi ini.
9 – Sepanjang tempoh 2-3 jam selepas makan
– Dibantu air yang diminum selepas makan, makanan yang separa cerna
(pejal) tadi telah mula bertukar rupa/fizikal sedikit demi sedikit
sehingga menjadi cair pekat berkrim (seperti kuah Campbell Soup, tidak
terlalu cair, tidak terlalu pekat). Kini ia tidak lagi dikenali sebagai
makanan, sebaliknya dikenali sebagai “chyme“. “Pyloric
sphincter” mula melonggarkan ikatannya dan sedikit demi sedikit chyme
masuk ke dalam bilik yang baru, iaitu Usus Kecil. Untuk satu sesi
bukaan, hanya kira-kira 3ml chyme sahaja yang akan dipancutkan ke dalam
usus kecil. Bukaan sphincter ini pula adalah kecil sahaja justeru
makanan yang belum bertukar kepada chyme tidak boleh masuk selagi tidak
menjadi chyme sepenuhnya.
10 – Selepas 2-3 jam anda makan
– Kini sebahagian besar chyme dari makanan yang dimakan tadi sudah
berada dalam usus kecil. Pencernaan lemak baru sahaja bermula pada
ketika ini (dengan kehadiran enzim Lipase dari
Pankreas) dan ia berlaku pada bahagian awal usus kecil yang dikenali
sebagai duodenum. Pencernaan dan penyerapan lemak, protein dan
karbohidrat juga berlaku dalam usus kecil. Pada ketika ini 3 organ akan
memainkan peranan penting mereka:
- Hempedu (gall bladder) – membekalkan “bile salts” untuk memudahkan penyerapan lemak.
- Pankreas – membekalkan komponen bikarbonat untuk meneutralkan kembali chyme yang bersifat asid (sebab dah bergaul dengan jus perut tadi); juga membekalkan enzim tambahan Trypsin dan Chymotrypsin untuk memecahkan lagi protein menjadi lebih ringkas (peptida + asid amino) dan enzim pancreatic amylase untuk menyambung kembali proses menukarkan karbohidrat (kanji) kepada oligosaccharides.
- Usus kecil itu sendiri – dindingnya mengandungi sel yang berfungsi meneutralkan kembali asid disamping membekalkan enzim pencernaan untuk memecahkan lagi nutrien menjadi komponen yang LEBIH ringkas. Villi pada permukaannya berfungsi menyerap nutrien untuk disalurkan terus ke darah. Villi berbentuk seperti jejari panjang, tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi luas permukaan agar mampu menyerap lebih banyak nutrien pada satu-satu masa.
11 – Selepas 5 jam anda makan
– Sebahagian besar nutrien telah diserap dan majoriti yang tinggal
adalah saki-baki campuran molekul triglyceride, monoglycerides dan asid
lemak bebas (kesemuanya berasal dari komponen lemak). Lemak sememangnya
mengambil masa yang lama untuk dihuraikan menjadi molekul yang lebih
kecil (rujuk bahagian “Makanan Berlemak” dalam entri ini).
12 – Selari dengan
kehadiran chyme yang baru masuk (orang yang kuat makan chyme nya mesti
tak henti-henti masuk berbanding orang mempunyai timing makan
yang baik), chyme yang sedia akan terus maju bergerak menyusuri usus
kecil disamping nutrien dan air darinya juga diserap. Sehingga satu
ketika, chyme yang sedia ada sudah sampai ke pintu sempadan “usus kecil –
usus besar”. Pada ketika ini majoriti nutrien dalam chyme sudah diserap
dan apa yang tinggal hanyalah “bahan-bahan yang tidak boleh diserap”.
Kenapa tidak boleh diserap? Kerana saiznya masih besar dan tidak muat
untuk diserap oleh villi ke dalam darah. Kenapa saiznya masih besar?
Kerana tiada enzim yang boleh memecahkan ia menjadi molekul yang lebih
ringkas. Sebagai contoh cellulose yang membentuk komponen ‘serat makanan‘. Chyme yang tinggal ini seterusnya dihalau keluar ke usus besar untuk proses seterusnya.
13 – Selepas 8 jam anda makan – Episod seterusnya berlaku dalam usus besar sepanjang 1.5 meter dan mengandungi lebih 400 spesis bakteria termasuklah E. coli.
Bakteria-bakteria ini, dikenali sebagai “Normal Flora”. Kehadiran saki
baki chyme yang tidak terserap tadi merupakan pesta buat
bakteria-bakteria ini kerana saki baki makanan yang tidak
dicerna/diserap ini merupakan makanan mereka (seterusnya dipecahkan lagi
molekulnya oleh mereka). Pada peringkat ini, hanya air sahaja yang akan
diserap oleh tubuh berserta saki baki sodium. Selari dengan pergerakan
saki baki ini menyusuri usus besar, kandungan air di dalam saki baki ini
makin berkurangan, seterusnya semakin mengeras lalu menjadi pejal.
Pepejal ini pula akan disimpan dalam “launching dock” yang dikenali sebagai “rectum”, sebelum dilepaskan, “blast off” sebagai TAHI apabila tiba masanya.
Demikianlah kronologi perjalanan sebuah
subjek yang dikenali sebagai “makanan”. Semoga selepas membaca entri ini
anda sedikit sebanyak akan lebih menghargai setiap butir makanan yang masuk ke dalam mulut anda.
Mereka yang selama ini tidak tahu akan hal ini pastinya hanya
mengetahui 2 perkara sahaja – makan dan berak, makan dan berak, DAN
makan dan berak. Apa yang berlaku di antara “makan” dan “berak” itu,
mereka tidak pernah sedar atau ambil tahu. Tahniah, kerana anda sudah
ambil tahu.
No comments:
Post a Comment